Kemas kini terbaru: October 18, 2016

Kategori

 

 

  • Kumpulan Penyelidikan

    Sains dan Teknologi

    Bahasa dan Linguistik

    Fizik Teori dan Matematik

    Falsafah

    Sains Sosial

    Ekonomi dan Kewangan



    (Nota: Pautan di atas akan dihubungkan ke laman khas setiap kumpulan penyelidikan terbabit)
  • Arkib

  • Cari topik / kata kunci

    Untuk carian topik tertentu, boleh gunakan enjin carian internet Google. Masukkan kata kunci / topik yang ingin dicari dan 'site: www.kesturi.net'. Cth: lawati www.google.com dan taip 'epistemologi site:www.kesturi.net' untuk mencari penulisan berkaitan epistemologi di kesturi.net. (Masih berkemungkinan akan menemui hasil daripada tempat lain juga)

     

  • Pengguna wordpress

  • Hebahkan

  • Ikuti perkembangan ASASI dan kesturi.net dengan Twitter:
    @kesturidotnet

     

  • Ulasan Terkini

  • Langgan senarai kiriman

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Permasalahan epistimologi: enigma kesedaran dan kaitannya dengan kosmologi Melayu

Oleh: Azree Nazri

Department of Genetics, Harvard Medical School; Universiti Putra Malaysia

Abstrak

Kesedaran adalah halus tetapi tidak ghaib. Kehadirannya secara mudah dapat diperhalusi apabila sedang mendisriminasikan situasi gelap dan cerah. Tetapi jika diteliti, kecerahan/kegelapan yang sampai ke saraf yang berasal dari mata dan kemudian ke otak adalah tidak penting untuk fungsi kesedaran. Sibuta penglihatan tidak buta mata kesedarannya kerana didalam kebutaannya dia masih lagi mampu untuk membayangkan warna, bentuk dan mimpikan kebendaan. Yang paling menghairankan, fotodiod yang sensitif cahaya juga dapat mengecam keadaan cerah dan gelap. Bilamana cahaya dipasang, meningkatkan arus didalam litar, ia menyala, dan jika lampu dipadamkan, arus didalam litar jatuh kepada kosong, ia tidak menyala. Adakah fotodiod juga sedar keadaan gelap dan cerah, sepertimana kita? Keupayaan untuk mendiskriminasikan diantara cahaya dan gelap datangnya dari sel-sel tertentu pada bahagian tertentu dalam otak. Secara prinsipnya, sel-sel ini hanyalah fotodiod-fotodiod yang diperbuat daripada daging. Memandangkan manusia seolah-olah mendapat satu pengalaman sedar cerah dan gelap yang bergantung kepada aktiviti-aktiviti sel-sel fotodiod ini daripada satu kawasan didalam otak, maka, kenapa fotodiod juga tidak dikatakan mempunyai satu pengalaman sedar cerah dan gelap. Kelihatan mudah untuk disangkal, tetapi apakah perbezaan kritikal diantara fotodiod dan kita, jika dapat dibangkitkan satu? Apakah tindakbalas fotodiod sensitif cahaya apabila didedahkan dengan bunyi, bau dan kesakitan? Mungkin prinsip kecukupan alasan dapat digunakan disini: sesuatu terjadi mesti ada sebabnya. Mesti ada beberapa tatacara yang perlu dipenuhi sebelum aktiviti sel-sel tertentu didalam korteks visual dapat dikaitkan dengan pengalaman sedar cerah dan gelap, dimana aktiviti fotodiod tidak. Adakah alam kuantum mempengaruhi fenomena ini? Apakah hubungan kesedaran dengan kosmologi Melayu?

Pendahuluan

Saya dilatih sebagai seorang saintis dan oleh kerana itu saya sentiasa percaya -secara mendalam dan ikhlas – hanya sains, apabila digunakan dengan betul, boleh memberikan jalan yang pasti kearah pengetahuan yang benar tentang dunia realiti. Jika seseorang ingin mengetahui apakah bahan binaaan dunia ini, dari mana ia datang, bagaimana cara kerjanya dan bagaimana ia menjadi seperti keadaan sekarang, maka cadangan saya adalah untuk melihat kepada sains untuk mencari jawapanya. Walaupunbagimanapun saya mengakui amalan sains bukan selalunya hitam putih. Kita selalunya terpaksa menerima warna kelabu dan memerlukan bantuan dari falsafah. Masalah yang selalu dihadapi oleh saintis ialah berkenaan realiti fizikal. Apakah itu realiti? Bagaimana kita menakrifkan realiti? Jika kita merujuk kepada apa yang kita dapat rasa, apa yang kita boleh bau, apa yang boleh kita rasa dan lihat, maka realiti adalah semata-mata isyarat-isyarat elektrik yang diterjemahkan oleh otak kita. Realiti adalah seperti raksa kersani yang licik yang tidak diketahui kewujudannya.

Bayangkan ros merah diatas sutera putih. Kita menganggapkanya sebagai satu benda yang cantik, kemerahannya berlatarkan sutera putih memancarkan ketiadaan. Apakah yang mencipta sensasi ini? Lebih tepatnya, apakah didalam realiti itu sendiri mencipta pengalaman warna merah yang indah ini? Dalam dunia internet, ini perkara mudah. Kita ‘google’ pigmen ros merah dan akan mendapat jawapan kemerahan ros adalah kerana kelopaknya mengandungi satu campuran kimia yang dipanggil anthocyanins, warnanya dapat dipertingkatkan jika ditanam didalam tanah kurang asid. Maka, anthocyanins dalam kelopak bunya ros berinteraksi dengan cahaya matahari, menyerap gelombang-gelombang cahaya dan memantulkan kembali sebahagian besarnya cahaya merah kedalam mata kita. Kita lihat pada kelopak ros dan kita nampak merah. Realiti itu nampaknya mudah. Tetapi, apakah cahaya merah. Cahaya merah adalah radiasi elektromagnetik dengan gelombang diantara 620-750 billion meter. Tetapi cahaya adalah cahaya. Ianya mengandungi tenaga partikel kecil yang dipanggil foton. Dan tidak kira berapa kali kita cuba, kita tidak akan jumpa sifat kemerahan didalam foton. Hanya apabila kita mensintesiskan maklumat yang sedang diproses oleh korteks visual dalam minda sedar membuatkan kita mengalami satu sensasi sekuntum ros merah yang cantik. Kita boleh mencari senario yang sama untuk semua deria manusia – rasa, bau, sentuhan dan pendengaran. Kita akan sampai kepada kesimpulan yang sama. Apa yang anda ambil sebagai realiti hanyalah isyarat-isyarat elektrik yang diterjemahkan oleh otak anda.

Dari realiti ke enigma kuantum

Jadi apakah realiti jika ianya bukan apa yang kita anggap ianya satu realiti. Didalam buku Republic, Plato telah menggunakan satu bidalan untuk membincangkan situasi yang sedang kita alami sekarang. Ini adalah bidalan gua Plato. Didalam sebuah gua yang gelap ada seorang lelaki. Lelaki tersebut dapat melihat dengan jelas bayang orang yang lalu lalang melalui dinding gua, membawa bermacam-macam benda yang tidak diketahui oleh lelaki gua tersebut. Sepanjang pengetahuan lelaki gua tersebut; gua, lelaki dan wanita yang dapat dilihat membina realitinya. Ini sahaja yang dia tahu. Tidak diketahui, ada api yang terbakar berterusan dibelakang gua tersebut, memenuhi dinding gua tersebut dengan cahaya malap. Lelaki dan wanita yang dilihat di dinding gua tersebut sebenarnya adalah bayang-bayang dipantulkan oleh manusia sebenar yang melalui di depan api tersebut. Dunia yang dia lihat adalah penampilan kasar objek dimana dia tersalah dengan menganggap itu adalah objek itu sendiri.

Bidalan Plato bertujuan menunjukkan walaupun realiti yang sedang kita alami diterbitkan dari sesuatu dari dalam diri mereka sendiri (orang sebenar yang lalu depan api) tetapi sebenarnya kita hanyalah melihat sesuatu luaran dari diri mereka (bayang-bayang yang mucul di dinding gua). Hujah-hujah jenis ini seolah-olah menghubungkan kebolehan sebenar kita untuk mendapat pengetahuan hanya dari luaran realiti melalui cara kerja minda yang membentuk idea, imej dan pemikiran kita.

Realiti mencipta satu enigma kuantum apabila teori tersebut kelihatan melibatkan perbuatan pemerhatian – seorang pemerhati sedar. Teori kuantum menerangkan yang perbuatan pemerhatian satu objek untuk berada di satu lokasi tertentu menyebabkan ia berada di situ. Sebagai contoh, mengikut teori kuantum, satu objek boleh berada dimana-mana sahaja serentak, walaupun berjuta batu. Kewujudannya pada suatu tempat yang khusus menjadi satu kenyataan apabila pemerhatian secara sedar dilakukan. Kenyataan ini menidakkan tentang kewujudan dunia sebenar yang secara fizikal bergantung kepada pemerhatiannya. Secara mudahnya, pemerhatian boleh mewujudkan dua realiti fizikal yang bercanggah. Si pemerhati boleh mencipta satu realiti satu objek berada di satu tempat yang khusus. Tetapi dia juga boleh memilih untuk mewujudkan objek tersebut di kedudukan yang bertentangan. Pemerhatian mencipta kedudukan sesuatu objek. Teori kuantum mempunyai kesemua sifat yang dicipta dari pemerhatinya.

Enigma kuantum mencipta enigma kesedaran

Dalam buku Discourse on Method, Rene Descartes telah cuba untuk membina satu pendekatan untuk memperolehi pengetahuan berkenaan dunia sekeliling dengan menidakkan kesemua maklumat yang dihantar ke minda oleh pancaindera. Dia memutuskan yang kesemua pancainderanya tidak dapat dipercayai. Dia mencari sesuautu yang dapat ditentukan kejelasannya. Selepas satu renungan, dia memutuskan sesuatu itu adalah mindanya sendiri. Dan, dia beralasan, memandangkan dia memiliki minda tersebut, maka dia mesti wujud. Cogito ergo sum, Saya berfikir maka saya ada.

Manusia adalah bentuk makhluk berasaskan karbon yang mempunyai kapasiti mental yang sudah berkembang. Kita adalah sedar, dan, seperti Descartes, kita boleh membuat renungan secara bijak berkenaan sifat semulajadi alam fizikal di sekeliling kita. Kita wujud, maka, alam ini mesti juga seperti bidalan Descartes – ego sum ergo est. Masalah pemerhatian mewujudkan realiti fizikal, membuatkan fenomena kesedaran penting kepada enigma kuantum dalam membentuk realiti- kesedaran memberi kesan kepada fenomena fizikal. Tetapi apakah kesedaran?

Didalam makalah ini fenomena kesedaran didefinasikan secara mudah dimana takrifan ini menimbulkan satu lagi enigma – enigma kesedaran. Enigma kesedaran meliputi masalah apakah yang menentukan jika satu fenomena kesedaran itu hadir dan dimana ianya tinggal. Dan juga apakah yang menentukan kualiti visual penglihatan, atau kualiti auditori bunyi? David Chalmers memperkenalkan satu permasalahn kesedaran mengikut kajian otak. Secara ringkanya, masalah ini menjelaskan bagaimana otak menghasilkan pengalaman yang subjektif. Chalmers menolak kemungkinan penjelasan reduktif kesedaran, sebaliknya mencadangkan teori kesedaran sepatutnya mengambil pengalaman sebagai entiti utama. Minat utama makalah ini menyebut permasalahan kesedaran Chalmers adalah kerana permasalahan ini menemukan realiti dengan fenomena kesedaran melalui enigma kuantum, dimana ahli-ahli fizik memanggilnya sebagai ‘masalah pengukuran’, dimana aspek-aspek pemerhatian dunia fizikal menghampiri pengalaman sedar. Walaubagaimanapun, enigma kesedaran tidak terungkai dengan cara ini.

Otak dan kesedaran seperti tidak dapat dipisahkan. Kesedaran dapat dipelajari daripada aktiviti-aktiviti tertentu otak. Ahli kaji otak telah mengkaji satu bahagian otak dipanggil sistem corticothalamic yang dikatakan tempat terhasilnya aktiviti-aktiviti kesedaran tetapi cerebellum yang mempunyai lebih banyak sel-sel otak daripada cerebrum (sistem corticothalamic), tidak mempunyai aktiviti ini. Apabila pelukis buta melukis dengan hanya mengunaka imaginasi yang masih tersisa menunjukkan deria input adalah tidak penting untuk kesedaran. Begitu juga output-output motor tidak penting untuk aktiviti kesedaran. Ini ditunjukkan dengan kajian litar-litar didalam otak dimana litar-litar itu berfungsi membantu kita melihat, mendengar, mengingat, bercakap dan beraksi, tetapi aktiviti-aktiviti litar ini tidak penting untuk aktiviti kesedaran. Kajian otak juga menunjukkan kesedaran seseorang boleh dibahagi dua apabila otak kirinya dipisahkan dari otak kanan. Percangahan aktiviti otak juga memisahkan kesedaran seseorang kepada dua. Kesedaran pudar apabila neuran-neuron kortikal terlalu aktif atau apabila seseorang sedang tidur. Sebelum ini, pemikiran dominan adalah otak dan jiwa sedar adalah dua entiti yang berbeza, satu falsafah dipanggil dualisme. Tetapi ianya menjadi semakin jelas bahwa aktiviti-aktiviti otak dapat mempengahuri aktiviti kesedaran seseorang. Kesedaran kelihatan bergantung sepenuhnya pada otak. Jika otak tidak berfungsi, tiada apa-apa yang tinggal: tiada kita tiada dunia disekitar kita. Ini mencipta satu anjakan paradigma dalam pemikiran saintifik.

Mengikut Tononi, fenomena kesedaran mempunyai maklumat berkenaan pengalamannya, dan pengalaman yang banyak itu diintegrasikan untuk menjadi satu entiti [1,2,3]. Bayangkan, satu ujian dimana seorang dikehendaki melaporkan samada ada cahaya atau tidak didalam sebuah bilik. Lelaki tersebut hanya perlu mengatakan ‘cahaya’ atau ‘gelap’. Lawannya adalah sebuah fotodiod sensitif cahaya. Semasa ujian dijalankan, lelaki dan fotodiod tersebut akan melaporkan keadaan bilik tersebut. Fotodiod hanyalah satu litar mini mengandungi rintangan boleh ubah. Apa yang membuatkan rintangan itu berubah adalah pendedahan kepada cahaya, jadi, arus elektrik meningkat apabila cahaya menjadi terang. Keputusannya adalah, kedua-dua makhluk tersebut menjawab semua keadaan dengan tepat dan lulus ujian tersebut. Persoalan sekarang, adakah fotodiod sedar keadaan bercahya dan gelap seperti lelaki tersebut? Adakah fotodiod mendapat satu keistimewaan subjektiviti, adakah ia mengalami kualiti-kualiti gelap dan cerah. Lagipun, fotoreseptor didalam retina lelaki tersebut juga berkelakuan seperti fotodiod tersebut, cuma bezanya fotoreseptor diperbuat oleh daging. Dan sesungguhnya kapasiti kita utuk mengalami cahaya dan gelap bergantung kepada sel-sel fotoreseptor ini, dan kita akan kehilangnya jika sel-sel ini musnah. Memandangkan lelaki tersebut kelihatan mendapat pengalaman sedar gelap dan cerah bergantung kepada aktiviti sel-sel ini yang berlaku didalam otak, maka mengapakah tidak fotodiod. Disini peranan maklumat seperti diterangkan oleh Tononi dan Chalmers menjadi penting, maklumat yang ada didalam fotodiod adalah tersangat kecil iaitu hanya satu bit, tetapi maklumat didalam otak manusia adalah seluas lautan. Maka fotodiod bertindakbalas kepada keadaan cerah/gelap seperti mesin ringkas. Maka tiada fenomena kesedaran muncul. Kamera digital pula dapat menyimpan lebih banyak maklumat daripada fotodiod ringkas dan otak manusia tetapi mengikut tafsiran kesedaran Tononi, setiap titik pada kamera digital berfungsi dengan tidak bergantung antara satu sama lain. Maklumat-maklumat pada setiap fotodiod pada kamera digital adalah tidak bergantung antara satu sama lain. Tidak seperti otak manusia kesemua sel-sel otak menyimpan maklumat dan kesemua maklumat diintegrasikan menjadi satu pengalaman-pengalaman sedar. Cara ini dapat merungkai engima kesedaran. Fenomena kesedaran Tononi memberi penekanan penyatuan maklumat di dalam otak yang dipanggil phi. Otak yang banyak melakukan aktiviti pengalaman sedar mempunyai phi yang tinggi.

Alam dan kosmo Melayu berlandaskan enigma kuantam dan enigma kesedaran

Fenomena kesedaran yang tertanam didalam otak kita mempunyai maklumat yang diintegrasikan menjadi satu untuk mencipta pengalaman sedar cerah/gelap, putih/hitam, tinggi/rendah dan sebagainya. Ianya berhubung rapat dengan dengan teori kuantum. Realiti kuantum berbeza dengan realiti yang kita sedar sekarang didalam dunia makro. Pemerhati sedar memainkan peranan penting dalam realiti kuantum. Tambahan lagi pemerhati sedar yang memainkan peranan penting dalam mereliasasikan dunia fizikal.

Penciptaan realiti di dalam kosmologi adalah sangat rapat. Dalam erti kata lain, masyarakat Melayu mencipta realitinya sendiri yang membentuk kosmologi melayu. Kosmologi Melayu merangkumi kosmologi asli, kosmologi kebatinan dan kosmologi sufi. Sastera Melayu juga merupakan salah satu sumber untuk mengethui kosmologi yang wujud dalam masyarakat Melayu. Ianya terdiri 1) hubungan manusia dengan alam, 2) makhluk yang wujud dalam alam yang berjenis-jenis, hubungan antara alam dan makhluk yang berjenis dan 4) persepsi Dewa-dewi dan Raja. Kosmos Melayu merupakan cara atau bagaimana orang Melayu melihat alam ini, iaitu ia melibatkan pengetahuan tentang kejadian dunia dan segala isinya termasuklah kejadian mereka sendiri sebagai seorang manusia. Kosmologi Melayu yang dipusakai hingga ke hari ini merupakan cantuman dari zaman tradisi, Islam dan moden.

Realiti kosmologi asli dan kebatinan ditulis didalam cerita rakyat melayu bahawa kejadian bumi bermula apabila cahaya terpancar daripada Tuhan untuk menjadi sebuah samudera yang besar.Seterusnya wasp dan buih yang tebal menjadi naik daripada air di tengah-tengah samudera itu menjadi alam bumi dan alam laut. Alam bumi terletak di atas permukaan air. Oleh kerana asas alam bumi sentiasa bergetar akibat daripada pergerak air di bawahnya. Tuhan meweujudkan sebuah banjaran gunung sekeliling alam bumi untuk menjadi dinding sandaran kepadanya. Gunung pusat kosmos ialah Gunung Seguntang (dikenali sebagai Geunung Mahameru). Kosmologi ini terbentuk apabila orang Melayu membentuk pengalaman sedar melalui pancainderan mereka. Kosmologi ini menjadi realiti bagi orang Melayu terawal. Cerita-cerita seperti hantu, gergasi atau raksaksa diceritakan kepada kanak-kanak yang seterusnya membentuk pengalaman sedar mereka berkenaan makhluk-makhluk tersebut. Pengalaman sedar ini seterusnya menjadi satu realiti bagi masyarakat Melayu.

Realiti kosmologi sufi pula memberi tumpuan kepada kosmologi dengan menggunakan nas-nas Quran dan hadith atau dalil naqli. Disini pengalaman sedar masyarakat Melayu berubah beransur-ansur kepada realiti yang diceritakan oleh para sufi. Disini karamah mengambil peranan. Realiti setempat terjadi oleh pemerhati sedar orang Melayu. Cerita-cerita seperti manusia berjalan diatas air atau udara melalui karamah muncul.

Secara ringkasnya, kosmologi Melayu datangnya dari kuantum realiti. Sepertimana kebanyakkan masyarakat-masyarakt Timur lain seperti Cina dan India. Masyarakat Barat sebelum Zaman Ketamadunan Baru juga mempunyai realiti kuantum sebelum bertukar kepada realiti Newtonion. Dimana sekarang masyarakat Barat beransur-ansur kembali kepada realiti kuantum selepas penubuhan teori kuantum. Realiti kuantum bukannya realiti fantasi kerana ianya terbukti menjadi sebagai teori dominan di dalam sains sehingga kini. Konsep ‘superposition’ atau lokasi fizikal objek tidak dapat ditentukan sehingga diperhatikan oleh pemerhati sedar melepasi segala ujian saintifik. Konsep ini menjadi realiti masyarakat Melayu di mana konsep makhluk halus merangkumi konsep ini. Konsep ‘entanglement’ juga wujud di dalam kosmologi Melayu. Persoalanya, adakah realiti kuantum yang membentuk pengalaman sedar masyarakat Melayu.

Kesimpulan

Kosmologi Melayu menjadi tujuan utama makalah ini kerana kekurangan usaha untuk menafsirkan kosmologi ini di dalam bentuk yang lebih saintifik. Kepercayaan tahyul yang dikatakan ada di dalam kosmologi Melayu sepatutnya ditukar kepada perkataan metafizik. Perkara yang belum boleh terungkai oleh akal. Kosmologi Melayu walaupun nampak tahyul sebenarnya berasas kerana ianya tercipta dari realiti kuantum iaitu salah satu teori sains yang dominan masa kini. Realiti kuantum dipanggil realiti yang pelik kerana untuk memahami realiti ini para ahli fizik terpaksa menerima falsafah di dalam menerangkan konsep kuantum. Konsep ‘superposition’ dan ‘entanglement’ adalah salah satu daripadanya yang mencipta satu enigma kepada realiti kuantum. Tanpa pemerhati sedar dunia kita akan memasuki kedalam dunia kebarangkalian di mana segala-galanya tidak mustahil. Untuk menyisihkan dunia kebarangkalian ini, kesedaran adalah penting. Kesedaran mencipta realiti.

Rujukan

1. Tononi. (2008). Consciousness as integrated information: a provisional manifesto. The Biological Bulletin, 3:2160242.
2. Barret et al. (2011). Practical measures of integrated information for time-series data. PloS Comput. Biol., 1:e1001052.
3. Balduzzi et al. (2009). Qualia: The geometry of integrated information. PloS Computational Biology 8:1000462.

Tiada komen

 

----

Nota: Pengunjung yang ingin beri komen dimohon gunakan ejaan yang betul supaya tak mengelirukan pembaca. Untuk makluman, komen yang mengelirukan, tak jelas tujuan dan maklumatnya, atau ‘spam’, tidak akan disiarkan atau akan dipadam. Harap maklum.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *